Lembah Wawasan Malaysia

Lembah Wawasan Malaysia (Jawi:‌ لمبه واوسن مليسيا ; bahasa Inggeris: Malaysia Vision Valley; MVV) merupakan sebuah koridor pembangunan di barat Negeri Sembilan, Malaysia.

Lembah Wawasan Malaysia
Malaysia Vision Valley
Zon ekonomi khas
Bandar-bandar utama di dalam lingkungan MVV. Dari atas, arah jam:
Seremban, Port Dickson dan Nilai
NegaraMalaysia
NegeriNegeri Sembilan
DaerahSeremban
Port Dickson
Dilancarkan21 Mei 2015 (versi asal)
13 Disember 2018 (versi kedua, kini)
Pentadbiran
 • Badan berkanunPerbadanan NS (NS Corp)
 • PengerusiAminuddin Harun
 • Ketua Pegawai OperasiNorazhar Musa
Keluasan
 • Jumlah1,534 km2 (592 batu persegi)
Zon waktuUTC+8 (Waktu Piawai Malaysia)
 • Musim panas (DST)tidak digunapakai
Poskod
70xxx-71xxx
Laman sesawanghttps://nscorp.gov.my/

Koridor ini pertama kali diwujudkan pada tahun 2015 melalui usaha sama antara kerajaan-kerajaan Persekutuan dan negeri. Ia melibatkan dua daerah yang paling pesat membangun di Negeri Sembilan, iaitu daerah-daerah Seremban dan Port Dickson, dan merupakan kesinambungan daripada kawasan Kuala Lumpur Raya. Ia berkeluasan sekitar 1,534 km persegi, iaitu dua kali ganda lebih besar dari seluruh negara Singapura dan lebih kecil dari koridor Iskandar Malaysia di Johor.

Latar belakang

Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang terletak hampir dengan Lembah Klang dan mempunyai keterhubungan yang baik melalui laluan-laluan utama. Oleh kerana keadaan Lembah Klang yang sudah tepu dengan pembangunan, trend urbanisasi telah dilihat merebak ke arah selatan saban tahun, didorong oleh pertambahan penduduk yang selalu berulang-alik dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur dan Selangor untuk bekerja. Keadaan topografi juga memainkan peranan dalam proses rebakan selatan ini, di mana koridor di antara Kuala Lumpur dan negeri itu secara relatifnya adalah agak landai berbanding di sebelah utara.[1] Faktor-faktor ini membawa kepada kesan tempias ekonomi yang ketara kepada Negeri Sembilan, khususnya di daerah-daerah Seremban dan Port Dickson di sebelah barat negeri tersebut. Kedua-dua daerah ini juga adalah sebahagian daripada Konurbasi Pertumbuhan Nasional.[2]

Rancangan untuk melaksanakan pembangunan sebuah koridor ekonomi di barat Negeri Sembilan telah diusulkan sejak tahun 2009 melalui pelan induk yang dikemukakan oleh Sime Darby Property, namun begitu ia terpaksa diketepikan susulan kegawatan ekonomi global.[3]

Pada 21 Mei 2015, versi pertama koridor Lembah Wawasan Malaysia telahpun dilancarkan oleh Dato' Seri Mohamad bin Haji Hasan (mantan Menteri Besar Negeri Sembilan) dan Perdana Menteri keenam, Dato' Seri Najib Razak (juga merangkap Menteri Kewangan) di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Dasar Pemodenan 45 Tahun Negeri Sembilan. Pelaksanaan koridor ekonomi baharu ini bertujuan untuk menyeimbangkan pembangunan di Lembah Klang, membangunkan barat Negeri Sembilan sebagai gerbang selatan kawasan Kuala Lumpur Raya dan memangkin pertumbuhan ekonomi pada peringkat negeri dan nasional secara drastik dengan memanfaatkan kesan tempias pembangunan Lembah Klang. Ia juga selari dengan wawasan jangka panjang Negeri Sembilan untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2045. [4][5] Sime Darby memainkan peranan sebagai entiti utama yang bertanggungjawab dalam merancang dan merealisasikan pembangunan koridor ini.

Projek ini tertangguh selepas kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14. Selepas disemak dan distruktur semula, Lembah Wawasan Malaysia 2.0. (MVV2.0.), versi kedua dan terkini projek itu, telah dilancarkan pada 13 Disember 2018 oleh penyandang Menteri Besar, Dato' Seri Aminuddin Harun. Sejak itu, Perbadanan NS (NS Corp) merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab dalam mewujudkan hala tuju, dasar dan strategi MVV, dan ia diperuntukkan untuk menyumbang sebanyak 15% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, dan dijangka akan mencipta sebanyak 600,000 peluang pekerjaan kepada warga Negeri Sembilan.[6]

Pelan pembangunan

Pelan pembangunan versi terkini Lembah Wawasan Malaysia merangkumi enam kawasan pertumbuhan (parcel), iaitu: [7]

  • Parcel A - Taman Perindustrian Berteknologi Tinggi Negeri Sembilan
  • Parcel B - Wilayah Pintar (Smart County)
  • Parcel C - Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV)
  • Parcel D - Koridor Pesisiran Pantai dan Hab Maritim Bersepadu (IMHCC)
  • Parcel E - Lembah Kenderaan Elektrik dan Tanpa Pemandu (EUVV)
  • Parcel F - Wilayah Semikonduktor (Semiconductor County)

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "The promise of Klang Valley's southern expansion" (dalam bahasa Inggeris). The Malaysian Reserve. 3 April 2017. Dicapai pada 27 Julai 2024.
  2. ^ PLANMalaysia (2021). Ringkasan Eksekutif Rancangan Fizikal Negara Keempat, m/s 20. https://www.kpkt.gov.my/kpkt/resources/user_1/MENGENAI%20KPKT/DASAR/RINGKASAN_EKSEKUTIF_RFN4_18112021.pdf
  3. ^ "Lembah Wawasan Malaysia projek terbesar Najib sebelum PRU14". Free Malaysia Today. 17 Oktober 2016. Dicapai pada 27 Julai 2024.
  4. ^ "Lembah Wawasan". Harian Metro. 21 Mei 2015. Dicapai pada 27 Julai 2024.
  5. ^ "11th Malaysia Plan: Six thrusts to propel Malaysia to greater heights". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 21 Mei 2015. Dicapai pada 27 Julai 2024.
  6. ^ "MVV 2.0 bakal tarik pelaburan RM294 bilion". Berita Harian. 13 Disember 2018. Dicapai pada 27 Julai 2024.
  7. ^ "MOUs worth billions signed to bring MVV 2.0 to fruition". MIDA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 27 Julai 2024.