Temenggung Abdul Rahman

Temenggung Tun Abdul Rahman
Dato' Temenggung Seri Maharaja Johor
Temenggung Johor ke-3
Pemerintahan1806 - 8 Disember 1825
Didahului olehTemenggung Tun Abdul Hamid
Diikuti olehTemenggung Tun Daeng Ibrahim

Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Rahman ibni Seri Paduka Dato' Temenggung Seri Maharaja Tun Abdul Hamid ialah Temenggung Johor ke-3 dari tahun 1806 hingga 1825.

Pemerintahan

Pertabalan Tun Abdul Rahman sebagai Temenggung Johor

Pada tahun 1806, Tun Abdul Rahman ibni Temenggung Tun Abdul Hamid telah ditabalkan sebagai Temenggung Seri Maharaja Johor oleh Sultan Mahmud Shah III di Istana Lingga. Temenggung Tun Abdul Rahman telah dikurniakan Tanah Besar Johor dan Pulau Singapura serta pulau-pulau di sekitarnya sebagai kawasan pemakanannya. Kemudian, Temenggung Tun Abdul Rahman bersama keluarga dan pengikutnya berpindah dari Pulau Bulang ke Pulau Singapura pada tahun 1811.

Krisis pewarisan takhta Sultan Johor

Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah III pada tahun 1812, berlaku krisis pewarisan takhta Sultan Johor antara putera sulung, Tengku Hussein dan putera bongsu, Tengku Abdul Rahman. Pada hari kemangkatan Sultan Mahmud Shah III, Tengku Hussein berada di Pahang kerana baginda berkahwin dengan Che' Wan Esah binti Bendahara Tun Koris yang merupakan adik kepada Bendahara Tun Ali.[1] Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar ibni Yang Dipertuan Muda Raja Haji telah menemui Tengku Abdul Rahman dan menerangkan kepada baginda bahawa menurut adat, jenazah Almarhum Sultan Mahmud Shah III tidak boleh dikebumikan selagi pengganti Almarhum belum dilantik.[2] Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar juga menerangkan bahawa Tengku Hussein tidak ada di Lingga kerana berada di Pahang dan tidak ada sesiapa yang layak diangkat sebagai Sultan melainkan Tengku Abdul Rahman.[3] Tengku Abdul Rahman membalas bahawa Almarhum ayahandanya ingin kakandanya Tengku Hussein menggantikan ayahandanya sebagai Sultan sesuai dengan adat-istiadat Kesultanan Johor dan ayahandanya juga ingin baginda menjadi orang alim dan menunaikan haji di Mekah dan baginda tidak berani untuk menderhaka kepada perintah ayahandanya.[4] Tengku Abdul Rahman juga meminta Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar menjadi Pemangku Raja sementara menunggu Tengku Hussein pulang ke Lingga.[5]

Namun, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membalas dengan tegas bahawa bagaimana beliau boleh mengambil kuasa Sultan sedangkan salah seorang puteranya berada di hadapan matanya.[6] Jawapan tegas Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membuatkan Tengku Abdul Rahman tunduk dan tidak berkata apa-apa lalu Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mentafsirkan tindak balas senyap Tengku Abdul Rahman sebagai membenarkan kehendaknya.[7] Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar kemudian menabalkan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor yang baru. Namun, pertabalan Tengku Abdul Rahman tidak dapat dinobatkan kerana alat kebesaran diraja berada di tangan Engku Puteri Raja Hamidah binti Yang Dipertuan Muda Raja Haji, balu Almarhum Sultan Mahmud Shah III yang juga bonda tiri Tengku Hussein dan Tengku Abdul Rahman serta saudara perempuan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar.[8][9] Engku Puteri Raja Hamidah enggan menyerahkan alat kebesaran diraja kerana beliau tidak merestui tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang telah melanggar adat dan tradisi Kesultanan Johor.[10] Setelah Tengku Hussein tiba di Lingga, baginda dimaklumkan tentang pertabalan adindanya Tengku Abdul Rahman.[11] Tengku Hussein kemudian berangkat ke Pulau Penyengat, Kepulauan Riau untuk bertemu dengan Engku Puteri Raja Hamidah bagi mengadukan tentang tuntutannya sebagai putera sulung Almarhum Sultan Mahmud Shah III terhadap takhta Sultan Johor.[12] Engku Puteri Raja Hamidah marah dengan tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan berkata:

Siapakah yang telah mengangkat Abdul Rahman jadi Sultan Johor? Saudara saya Raja Jaafar? Adat pelantikan dari manakah yang diikutinya? Perbuatan yang tidak adil seperti inilah yang menyebabkan kerajaan Johor akan segera rosak binasa![13]

Engku Puteri Raja Hamidah berpihak pada Tengku Hussein dalam tuntutannya ke atas takhta Sultan Johor. Selepas pertemuan dengan Engku Puteri Raja Hamidah, Tengku Hussein berangkat ke Pahang untuk bertemu dengan Bendahara Tun Ali ibni Bendahara Tun Koris yang memerintah Pahang sebagai Raja Bendahara Pahang bagi mengadukan tentang tuntutannya sebagai putera sulung Almarhum Sultan Mahmud Shah III terhadap takhta Sultan Johor.[14] Bendahara Tun Ali kemudian telah menghantar angkatan tenteranya ke Bulang di Kepulauan Riau untuk menyerang Lingga. Apabila Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mengetahui tentang rancangan Bendahara Tun Ali, beliau membuat aduan kepada Residen Inggeris di Melaka. Bendahara Tun Ali telah diberi amaran oleh Residen Inggeris di Melaka bahawa tindakan beliau yang mencampur tangan dalam urusan pentadbiran Kesultanan Johor yang berpusat di Lingga telah dianggap sebagai satu kesalahan oleh Inggeris. Oleh sebab itu, Bendahara Tun Ali mengarahkan angkatan tenteranya yang berada di Bulang untuk pulang ke Pahang.[15] Rancangan Tengku Hussein untuk mendapatkan takhta Sultan Johor telah menemui kegagalan.

Belanda meluaskan pengaruh dalam Kesultanan Johor melalui Perjanjian Persahabatan Johor-Belanda 1818

Peluang Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar untuk menabalkan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor muncul kembali apabila Belanda membuat tawaran untuk menyelesaikan krisis pewarisan takhta Sultan Johor dengan mengiktiraf pertabalan Tengku Abdul Rahman.[16] Namun, Belanda mengemukakan syarat bahawa Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar perlu terlebih dahulu menandatangani perjanjian dengan Belanda.[17] Selepas berbincang dengan Belanda, maka pada 26 November 1818, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani oleh pihak Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan pihak Admiral Wolterbeek mewakili Belanda di Melaka di mana Belanda bersetuju untuk mengiktiraf Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan melindungi baginda daripada sebarang ancaman musuh baginda.[18][19] Sebagai balasan, Kesultanan Johor bersetuju untuk memberikan keistimewaan kepada Belanda dalam urusan perdagangan laut.[20] Perjanjian tersebut telah mendorong kepada campur tangan Belanda dalam urusan pentadbiran Kesultanan Johor yang berpusat di Lingga.

Inggeris bertapak di Singapura melalui Perjanjian 6 Februari 1819

Pada tahun 1819, Sir Thomas Stamford Raffles mendarat di Singapura dan berjumpa dengan Temenggung Tun Abdul Rahman bagi menyampaikan hasratnya untuk membina sebuah pelabuhan Inggeris di Singapura. Pada mulanya, Stamford Raffles ingin menjadikan Temenggung Tun Abdul Rahman sebagai Raja Singapura namun tidak berjaya. Setelah mengetahui krisis pewarisan takhta Sultan Johor antara Tengku Hussein dan Tengku Abdul Rahman (kemudian bergelar Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah) yang disokong oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dan Belanda, Stamford Raffles memujuk Temenggung Tun Abdul Rahman supaya membawa Tengku Hussein ke Singapura. Kemudian, pada 1 Februari 1819, Tengku Hussein tiba di Singapura. Baginda bermesyuarat dengan Temenggung Tun Abdul Rahman tentang Inggeris yang ingin menduduki Singapura. Dalam mesyuarat tersebut, Stamford Raffles menerangkan tujuan Tengku Hussein dibawa ke Singapura dan rancangan beliau di Singapura.[21]

Rancangan Stamford Raffles berjaya apabila pada 6 Februari 1819, Temenggung Tun Abdul Rahman bersama Tengku Hussein dan Stamford Raffles yang mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris menandatangani Perjanjian 1819 di mana Tengku Hussein diangkat sebagai Sultan Johor yang bergelar Sultan Hussein Muazzam Shah dan Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju untuk memberikan elaun tahunan kepada Sultan Hussein Muazzam Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman. Sebagai balasan, Sultan Hussein Muazzam Shah membenarkan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk membina pelabuhan mereka di Singapura. Pada hari yang sama, Stamford Raffles melantik William Farquhar sebagai Residen Singapura yang pertama.[22] Perjanjian 1819 menandakan bermulanya penguasaan Inggeris di Singapura.

Reaksi Bendahara Tun Ali terhadap pelantikan Sultan Hussein Shah sebagai Sultan Johor

Temenggung Tun Abdul Rahman kemudian menulis surat kepada Bendahara Tun Ali bagi memaklumkan tentang perkembangan yang berlaku di Singapura iaitu Inggeris menduduki Singapura dan pelantikan Sultan Hussein Muazzam Shah sebagai Sultan Johor. Namun, Bendahara Tun Ali membalas bahawa beliau tidak mencampuri urusan di Singapura dan beliau kekal bertuankan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang bersemayam di Daik, Kepulauan Lingga.[23] Walaupun pada awalnya Bendahara Tun Ali menentang pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang dilakukan tanpa alat kebesaran diraja kerana jelas bertentangan dengan adat pertabalan raja Melayu, namun dengan perkembangan yang berlaku di Singapura, Bendahara Tun Ali tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mengiktiraf Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor.[24] Hal ini demikian kerana pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah lebih mengikuti adat istiadat raja-raja Melayu berbanding Sultan Hussein Muazzam Shah yang jelas diangkat oleh Inggeris dan upacara pertabalan Sultan Hussein Muazzam Shah yang dilakukan tidak mengikuti adat-istiadat raja-raja Melayu.[25] Pelantikan Sultan Hussein Muazzam Shah telah menyebabkan Kesultanan Johor mempunyai dua orang Sultan.

Usaha Belanda dan Inggeris untuk merampas alat kebesaran diraja Kesultanan Johor daripada Engku Puteri Raja Hamidah

Walaupun Sultan Hussein Muazzam Shah berjaya menjadi Sultan Johor dengan bantuan Stamford Raffles, baginda berusaha untuk mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor yang berada dalam simpanan Engku Puteri Raja Hamidah. Inggeris cuba merasuah Engku Puteri Raja Hamidah dengan wang sebanyak 50,000 ringgit Sepanyol untuk mendapatkan alat kebesaran diraja tersebut tetapi Engku Puteri Raja Hamidah menolak dan berasa terhina dengan tawaran Inggeris.[26] Apabila Inggeris gagal untuk mendapatkan alat kebesaran diraja, Inggeris bertindak biadap dengan mencuri perabung Istana Engku Puteri Raja Hamidah dan membawanya ke Singapura untuk dijadikan sebagai simbol pertabalan Sultan Hussein Muazzam Shah sebagai Sultan Johor. Pada bulan Oktober 1822, Gabenor Belanda di Melaka, Timmerman Thyssen diiringi oleh Adriaen Koek bersama angkatan tenteranya yang lengkap bersenjata telah memasuki Istana Engku Puteri Raja Hamidah lalu mengambil alat kebesaran diraja daripada simpanan beliau.[27] Dengan bantuan Belanda, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah berjaya ditabalkan semula sebagai Sultan Johor bersama alat kebesaran diraja pada bulan November 1822.

Perpecahan Empayar Kesultanan Johor melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Pada 17 Mac 1824, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani di mana Inggeris menyerahkan Bengkulu kepada Belanda manakala Belanda menyerahkan Melaka kepada Inggeris. Ini menjadikan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura berada di bawah pengaruh Inggeris manakala Kepulauan Riau dan Lingga berada di bawah pengaruh Belanda. Ini juga menyebabkan Kesultanan Johor berpecah di mana Johor, Singapura dan Pahang berada di bawah kekuasaan Sultan Hussein Muazzam Shah, walaupun pada hakikatnya Pahang diperintah oleh Raja Bendahara Pahang, Johor diperintah oleh Temenggung Seri Maharaja Johor dan Sultan Hussein Muazzam Shah yang bersemayam di Singapura hanya mempunyai kuasa dan pengaruh yang terhad ke atas tiga wilayah tersebut, manakala Kepulauan Riau dan Lingga berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah. Setelah Residen Singapura yang ke-2 iaitu Dr John Crawfurd menghentikan pembayaran elaun kepada Sultan Hussein Muazzam Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman selama tiga bulan, akhirnya pada 2 Ogos 1824, Perjanjian 1824 antara John Crawfurd mewakili Syarikat Hindia Timur Inggeris dengan Sultan Hussein Muazzam Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman termeterai di mana Sultan Hussein Muazzam Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman menyerahkan kedaulatan dan hak mereka ke atas Pulau Singapura dan pulau-pulau di sekitarnya kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk selama-lamanya. Sebagai balasan, Syarikat Hindia Timur Inggeris membayar wang pampasan dan elaun bulanan kepada Sultan Hussein Muazzam Shah dan Temenggung Tun Abdul Rahman.[28]

Berakhirnya Empayar Kesultanan Johor melalui Perjanjian 29 Oktober 1830

Pada tahun 1825, Belanda memaklumkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[29] Ini telah menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar dalam dilema. Tindakan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar yang melanggar adat-istiadat raja-raja Melayu dengan menabalkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor telah menyebabkan beliau terpaksa menandatangani perjanjian persahabatan dengan Belanda pada tahun 1818 dan beliau juga dibantu oleh Belanda dalam usaha untuk mendapatkan alat kebesaran diraja secara paksa daripada saudaranya Engku Puteri Raja Hamidah bagi menobatkan pertabalan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah pada tahun 1822.[30] Bantuan daripada Belanda tersebut membuatkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar terhutang budi kepada Belanda. Namun, kedudukan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar sebagai pembesar utama Kesultanan Johor membuatkan beliau tidak boleh memberikan sokongan kepada usaha Belanda dan Inggeris untuk membahagikan wilayah-wilayah Kesultanan Johor.[31] Akhirnya, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar membuat keputusan untuk menerima sahaja syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 lalu membawa kepada satu lagi perjanjian antara beliau dan Belanda yang ditandatangani pada 29 Oktober 1830.[32] Antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar menerima Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di mana beliau bersetuju bahawa Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah naungan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga, Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar bersetuju dengan perubahan status hubungan antara Belanda dan Kesultanan Riau-Lingga di mana status asal iaitu Kesultanan Johor bersahabat dengan Belanda berubah kepada status baru iaitu Kesultanan Riau-Lingga diletakkan di bawah naungan Belanda, kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau diperkukuhkan lagi dengan status sebagai pentadbir utama Riau, dan hanya waris Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar sahaja yang menjawat jawatan Yang Dipertuan Muda Riau.[33]

Mangkat

Kecewa dengan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Sultan Hussein Muazzam Shah berpindah ke Bandar Hilir, Melaka pada tahun 1834 dan mangkat di sana pada 5 September 1835 manakala Temenggung Tun Abdul Rahman kekal tinggal di Singapura dan meninggal dunia pada 8 Disember 1825.[34][35]

Lihat juga

  • Sultan Johor
  • Sejarah Johor
  • Sejarah Singapura
  • Kesultanan Riau-Lingga

Rujukan

  • Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
  • Buyong Adil (2020). Sejarah Johor: Edisi Semakan.
  • Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863.

Nota kaki

  1. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 186
  2. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 190
  3. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 190
  4. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 190-191
  5. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 191
  6. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 191
  7. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 191
  8. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 191
  9. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 194
  10. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 194
  11. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 192
  12. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 193-194
  13. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 194
  14. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 194
  15. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 194
  16. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 194
  17. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 194
  18. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 200
  19. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 194-195
  20. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 195
  21. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 203
  22. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 203-204
  23. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 211
  24. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 197-198
  25. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 198
  26. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 212
  27. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 212-213
  28. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 218-219
  29. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
  30. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
  31. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
  32. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
  33. ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 221-222
  34. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 220
  35. ^ Buyong Adil (2020), Sejarah Johor: Edisi Semakan, halaman 227


Penyandang Terdahulu Temenggung Johor ke-3
1806 – 1825
Penyandang Kemudian
Temenggung Tun Abdul Hamid Temenggung Tun Daeng Ibrahim